Selasa, 9 Mac 2010

My Name Is Khan


My Name is Khan. Filem ini mula ditayangkan 12 Februari yang lalu dan aku adalah antara yang terawal menontonnya di Malaysia. Apa yang peliknya filem ini tak pula ditayangkan di semua cinema2 tempatan, dapat ditonton di Cap Square dan Sunway Piramid.

Filem ini menceritakan mengenai Shah Rukh Khan memegang watak lelaki Muslim yang bernama Rizvan Khan yang mengalami sindrom Asperger sejenis masalah kecacatan atau fobia autism disorder sejak kecil. Kecacatan yang dialami olehnya boleh la diklasifikasikan sebagai kanak-kanak istimewa kerana beliau mengalami masalah interaksi dengan orang lain. Disebabkan kecacatannya itu, beliau terpaksa berhenti sekolah dan menuntut ilmu di rumah secara persendirian dengan seorang guru yang menilai potensi IQ dan kebolehan yang ada padanya. Berlaku juga konflik kerana Rizvan lebih disayangi ibu berbanding adiknya.

Setelah kematian ibunya, beliau bertekad untuk menjejaki adiknya yang belajar dan bekerja di Amerika Syarikat. Namun segalanya menjadi mimpi ngeri baginya apabila tiba di AS, yang ditahan semasa pemeriksaan di lapangan terbang (situasi yang sama yang pernah aku alami semasa aku belajar di London), malah akibat penyakit dan kecacatan yang dialaminya itu disalah tafsir sebagai kelakuan yang meragukan (suspicious behaviour) sehingga dilabelkan sebagai seorang pengganas. Ini ditambah pula dengan tindakan Rizvan yang menyatakan hasrat untuk pergi ke Washington DC untuk menemui dan memberi mesej khas Presiden AS.

Di dalam usaha Rizvan untuk menjejaki Presiden AS di seluruh Amerika, pengarah Karan Johar cuba mengalih perhatian kepada kehidupan lampau yang dilalui oleh Rizvan sepanjang hayatnya daripada kecil sehinggalah ke babak yang menjadi faktor utama kenapa beliau begitu bersungguh-sungguh untuk menemui Presiden AS. Setelah beliau menjejakkan kaki di AS, beliau tinggal bersama adik dan adik iparnya lalu ditawarkan bekerja bersama adiknya dalam syarikat kosmetik dan kesihatan Mehnaz. Melalui itu, dia menjadi seorang seller jalanan hinggalah menemui Mandira (Kajol) beragama hindu yang membuka butik saloon di San Francisco. Dan macam biasalah bibik2 cinta pun bermula....

Namun apa yang menariknya filem ini adalah usaha Karan Johar untuk berkongsi pengalaman kehidupan orang Islam di Amerika sebelum dan selepas peristiwa 11 September 2001. Sepertimana watak Rizvan Khan dengan Mandira yang berkahwin dan menukar nama kepada Mandira Khan, kehidupan rukun tetangga serta penerimaan masyarakat setempat terhadap kaum Islam di Amerika.

Konflik dalam filem ini bermula apabila berlakunya peristiwa 11 /9 itu yang mana mencetuskan perasaaan benci dan salah faham terhadap umat Islam. Berbekalkan sedikit rujukan daripada Al-Quran dan hadis dalam filem ini untuk memberi tafsiran apa maksud tersirat dalam hadis dan kitab untuk diterjemahkan dalam konteks kehidupan sekarang. Secara tak langsung dengan cara ini, kaum penganut agama lain boleh memahami secara ringkas atau general mengenai Islam. Sebagai contoh ada babak yang mana terjemahan hadis memberitahu bahawa kematian seseorang individu yang tak bersalah akan mengakibatkan kemusnahan sesuatu komuniti. Ini cuba digambarkan menerusi malapetaka 9/11 itu telah mengakibatkan kebencian terhadap komuniti Islam sehingga berlakunya perpecahan menerusi serangan rasis dan sekatan budaya seperti pemakaian tudung dan sebagainya. Malah ada satu part yang menunujukkan bahawa tiada halangan untuk kita dirikan solat apabila Rizvan sempat solat walaupun ketika bas berhenti rehat di tengah gurun.

Begitu juga dengan keluarga Rizvan yang turut menerima tempias akibat serangan 11/9 dimana mereka dipulaukan dan aktiviti perniagaan mereka merosot malah sehingga menyebabkan nyawa mereka sendiri terancam....akibat tekanan sebegini, Mandira bertekad untuk meninggalkan Rizvan kerana menanggap Rizvan sebagai punca utama segala konflik yang berlaku. Pun begitu, filem ini juga cuba menngetengahkan keindahan Islam itu sendiri seperti pemberian zakat dan derma, menghulurkan bantuan kepada golongan bukan Islam, dan sebagainya.

Selain itu, apa yang uniknya filem ini adalah kenapa watak utama Rizvan Khan lakonan Shah Rukh Khan ini dijadikan cacat dan bukannya insan biasa? Pada pandangan aku, watak Rizvan Khan ini bukan disengajakan untuk dijadikan cacat tapi sebenarnya mempunyai motif yang tersirat yang memerlukan penonton memahami secara lebih mendalam. Antaranya untuk mengajak penonton memahami kesukaran dan kelemahan serta isi hati yang dialami oleh golongan cacat tersebut. 2nd, untuk tidak memandang rendah keupayaan golongan cacat walaupun mereka bukanlah datang dari golongan berpendidikan tinggi tapi masih mampu mempelajari skill2 kemahiran asas serta pemikiran yang tajam dalam membuat keputusan. Dan yang paling penting, kemampuan dan daya usaha orang cacat seperti Rizvan Khan ini menandingi kemampuan orang biasa dalam usaha memulihkan keadaan dan menegakkan keadilan diri dan umatnya sendiri sehingga berjuang menjejaki Presiden AS.


Secara keseluruhannya, filem ini bukan saja membuatkan aku menitiskan air mata kerana sebak, tapi juga banyak memberikan pengajaran dan iktibar kepada semua penonton terutamanya kepada bangsa dan penganut agama lain untuk membuka minda dan membuang tanggapan negatif terhadap Islam. Ada juga part yang mana kita akan tergelak walaupun ketika menitiskan air mata dek gelagat Rizvan yang mengalami sindrom Asperger yb=ang sentiasa berada di dunianya sendiri. Malah filem ini turut memberikan mesej yang sangat jelas menerusi tagline, "My Name is Khan, and I'm not a Terrorist." sudah cukup untuk menggambarkan bahawa bukan semua Muslim adalah pengganas. Apa yang aku harapkan filem ini bakal menjadi salah satu kunci utama dalam memulihkan pandangan serong terhadap Islam dan kembalikan penyatuan manusia sejagat.


Sekiranya anda penggemar filem Bollywood mengharapkan atau menyangka filem ini tak terlepas daripada fantasi khayalan menerusi tarian irama dan lagu semata-mata seperti filem-filem lain, ternyata tanggapan anda meleset. Inilah pembaharuan yang cuba diketengahkan oleh Karan Johar untuk filem ini kerana mahu lebih fokus kepada jalan cerita dan mesej yang cuba disampaikan. Inilah satu tindakan mahupun langkah berani yang diambil oleh seorang pengarah yang bukan Islam yang cuba untuk memulihkan persepsi masyarakat barat terhadap Islam..... Sememangnya wajar dan layak diberikan pujian. Bagi aku inilah salah satu filem yang benar-benar mencapai objektif menerusi interaksi dengan akal dan naluri manusia dalam menilai baik dan buruk sehingga mencetuskan keinsafan dan kekesalan, dan bukan sekadar hiburan semata2.Filem ini juga membuat aku bangga dengan asal-usulku yang berketurunan KHAN.. Khuda Hafiz...